Wednesday, September 08, 2010

Johor: Air mata Aidilfitri

Johor: Air mata Aidilfitri

Oleh Mohamed Farid Noh

mfarid@bharian.com.my

2010/09/08





DARI kiri, Aminah, Jainah dan Minah sedih terpaksa sambut raya di Rumah Orang-Orang Tua Peserai, Batu Pahat.3 penghuni rumah orang tua sedih terpaksa sambut raya tanpa keluarga



BATU PAHAT: Di kala umat Islam negara ini sedang bersiap sedia dan tidak sabar menunggu saat untuk pulang berhari raya di kampung halaman bersama keluarga tercinta, tiga wanita yang menetap di Rumah Orang-Orang Tua Peserai, di Kampung Peserai di sini terpaksa menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyahduan di rumah perlindungan berkenaan. Tahun ini genap tiga tahun Aminah Yusof, 68, Minah Tik, 62, dan Jainah Diso, 60, menyambut Aidilfitri di rumah orang tua persendirian berkenaan, selepas tinggal sebatang kara akibat kematian suami dan disisih keluarga sendiri. Di ruang seperti rumah murah sebilik dan satu bilik air itulah Aminah, Minah dan Jainah tinggal sebumbung berkongsi suka duka dan berjanji untuk menanggung susah senang bersama.



Mereka bukan saja perlu mencari makan pakai sendiri, malah membayar segala bil elektrik dan air di rumah berkenaan menggunakan wang sendiri, walaupun dibenarkan tinggal di situ secara percuma.



Walaupun hidup dalam kesukaran mereka bersyukur apabila Baitulmal banyak memberi bantuan tambahan dengan menyediakan kelengkapan rumah berkenaan seperti katil, tilam, bantal, selimut serta tikar getah untuk kediaman mereka.



Aminah, Minah dan Jainah masing-masing meneruskan sisa hidup dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu Aminah dan Minah, menerima RM300 manakala Jainah, RM150, sebagai wang bantuan am.

Lebih memilukan, tiada sebarang persiapan Aidilfitri mampu disediakan mereka berikutan wang bantuan JKM berkenaan akan hanya boleh diambil pada 9 September ini iaitu sehari sebelum Aidilfitri selain seorang imam mendakwa mereka tidak layak menerima zakat fitrah.



Aminah berkata, walaupun sedih menyambut Aidilfitri dalam serba kekurangan beliau bersyukur kerana masih mempunyai rakan dunia akhirat seperti Minah dan Jainah, yang setia bersamanya mengharung sisa kehidupan.



Ditanya, sama ada beliau mempunyai anak, Aminah yang kematian suami tujuh tahun lalu, hanya mampu mengalirkan air mata sebak mengenangkan nasibnya.



“Saya lebih selesa di sini apatah lagi sudah menganggap Minah dan Jainah seperti saudara kandung sendiri. Minah bukan orang lain dengan saya kerana saya mengahwini abangnya dulu, manakala Jainah pula adalah madu Minah. Saya tidak akan ke mana-mana lagi kerana tempat saya di sini bersama mereka, kalau ada sesiapa mahu mencari saya atau ingin berjumpa, mereka tentu tahu di mana untuk cari saya," katanya sebak.



Minah pula yang menderita penyakit semput, darah tinggi, sakit jantung, kencing manis dan buah pinggang itu, serta sering jatuh sakit kebelakangan ini, hiba mengenangkan nasib diri menjelang Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, sejak suaminya meninggal dunia tiga tahun lalu.



“Saya dan Jainah hidup bermadu sejak belasan tahun dulu dan tinggal serumah dan tidak pernah bergaduh. Selepas arwah suami meninggal, kami tidak mempunyai tempat bergantung, sebab itu kami tetap setia bersama, kerana tiada tempat lagi mahu dituju sebelum menetap di sini.



“Beginilah nasib kami bertiga, berikutan kami sering jatuh sakit dan terpaksa mendapatkan rawatan serta membeli ubat, kami pernah tidak mempunyai cukup wang untuk membeli makanan dan hanya mampu berbuka dengan memakan nasi berlauk kicap atau kepala ikan bilis goreng saja.



“Saya, Aminah dan Jainah sudah sepakat dan berjanji akan saling bantu-membantu serta berkongsi segala termasuk susah senang, wang serta makanan, malah jika salah seorang daripada kami tidak cukup wang untuk membeli ubat atau apa saja keperluan lain, yang lain akan menambah atau mendahulukan wang mereka begitulah sebaliknya, ” katanya.



Selain Aminah, Minah dan Jainah, dua cucu angkat Minah yang sudah dibela dari kecil iaitu Aishah Ahmad, 14, dan Syafika Ahmad, 8, turut tinggal bersama warga emas berkenaan di rumah orang tua berkenaan dengan semua perbelanjaan termasuk persekolahan mereka serta makan minum ditanggung tiga wanita itu.


p.s : tak boleh tahan air mata baca berita ni :(

2 comments:

PutraRocker said...

salam 29 ramadhan..woot3 o_O

armouris said...

info tentang darah tinggi di SIHAT SELALU - Manfaat Coq10 Untuk Kesihatan Darah Tinggi

Newer Post Older Post Home